MALAYSIA 1 BELGIUM 1

Skuad hoki muda negara mencipta kejutan apabila mengikat pasukan gergasi Eropah dan naib juara edisi 2016, Belgium, dalam perlawanan kedua Kumpulan A, Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India sebentar tadi.

Aksi di Stadium Kalinga itu menyaksikan pasukan bimbingan Wallace Tan berkenaan terlebih dahulu berada di depan apabila Amirul Hamizan Azahar memanfaatkan gerakan susulan daripada pukulan sudut penalti untuk merobek gawang lawan pada minit ke-29.

Malaysia kental bertahan untuk mengekalkan kelebihan itu tetapi sayangnya dibolosi pada awal suku keempat menerusi pukulan sudut penalti Belgium yang disudahkan Thibeau Stockbroekx pada minit ke-49.

Dengan keputusan itu, Malaysia kekal berada di tangga kedua Kumpulan A dengan empat mata dan hanya dibezakan jumlah jaringan dengan pendahulu, Belgium.

Seterusnya, skuad negara akan melengkapkan perlawanan peringkat kumpulan dengan berdepan pasukan di tangga ketiga, Afrika Selatan, bagi penentuan tempat ke suku akhir malam esok.


Kredit foto: FIH