"Kami hanya akan fokus hoki padang sahaja selepas ini."

Itu pernyataan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, selepas skuad hoki negara berjaya meraih tiga pingat emas daripada empat acara yang dipertandingkan.

Tiga emas yang dirangkul adalah daripada pasukan hoki dalam dewan lelaki, hoki padang wanita dan hoki padang lelaki, sekaligus menunjukkan pencapaian yang tidak selari dengan sasaran KHM sendiri, iaitu menyapu bersih empat emas selepas hoki dalam dewan wanita sekadar meraih gangsa.

Pujian diberikan kepada semua pemain atas usaha keras mereka tetapi Subahan menegaskan bahawa KHM tidak lagi akan memberi perhatian kepada acara hoki dalam dewan kerana mahu fokus kepada hoki dalam padang yang mempunyai misi yang lebih cerah di peringkat dunia.

"Selagi saya presiden, saya tidak akan buat hoki dalam dewan. Kalau presiden baru selepas saya nak buat, itu terpulang kepada dia. Bagi saya, kita ada sasaran untuk ke Sukan Olimpik dan Sukan Asia di Jakarta," katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih hoki padang lelaki negara, Stephen Van Huizen, berpuas hati dengan kejayaan yang diraih anak buahnya meraih emas selepas membenam cabaran Myanmar 14-0, semalam.

Namun, dia menegaskan tiada cuti lama untuk pemain kerana perlu fokus kepada saingan Piala Asia di Dhaka, Oktober ini.

"Selepas ini, kami akan berikan mereka cuti dua minggu, kemudian memberi fokus kepada Piala Asia di Dhaka. Kami tidak tertekan kerana kami sudah pun melayakkan diri ke Piala Dunia," ujar Van Huizen.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.