Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) dalam usaha mewujudkan Liga Hoki Dalam Dewan (MIHL) buat julung kalinya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan KHM, Shurizan Mansor, format serta tarikh penganjuran MIHL 2021 bakal diputuskan dalam mesyuarat jawatankuasa pertandingan yang akan diadakan pada 30 Oktober ini.

"Permainan hoki dalam dewan ini sudah lama ada di Malaysia, cuma perlawanan di peringkat kelab dan negeri belum pernah diadakan lagi.

"Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan fikir jika mahu meningkatkan kualiti permainan, kami perlu kejohanan secara liga.

"Ia mungkin diadakan secara tahunan, mungkin bermula pasukan-pasukan kelab kemudian ke peringkat negeri.

"Kami sebenarnya merancang untuk mengadakannya sejak tahun lalu tetapi (berdepan kekangan) COVID-19.

"Terkini, kami mendapat maklum balas kejohanan ini akan disertai oleh sembilan pasukan lelaki dan enam pasukan wanita," katanya di Nadi Arena.