Hanya satu kemenangan mampu diburu daripada tiga aksi persahabatan di Oman tidak membuatkan pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, bimbang memandangkan ramai pemain utama tidak berada dalam skuadnya kali ini.

Skuad B-19 negara selamat sampai ke tanah air hari ini selepas 10 hari di Muscat, Oman.

Bertemu tiga pasukan daripada kelab divisyen satu Oman, ia merupakan pengalaman berbeza buat pemain yang majoritinya datang daripada skuad Piala Presiden dan Piala Belia.

Paling ketara, tewas besar 0-4 kepada pendahulu Liga Profesional Oman, Al-Suwaiq, dalam aksi persahabatan sulung yang memberi banyak pengajaran berguna kepada pemain.

"Ia adalah pengalaman yang baik berdepan Oman kerana mereka merupakan pasukan yang bertaraf profesional," kata Hodak.

Sementara itu, Hodak hanya berpeluang memanggil pemain utamanya -- antaranya Akhyar Rashid, Nik Akif Nik Syahiran Nik Mat dan Azri Abdul Ghani -- menjalani latihan bersama seminggu sebelum berlepas ke Jakarta kerana terlibat membantu pasukan masing-masing dalam saingan Piala Malaysia.

"Akif dan Akhyar akan dipanggil pada minggu terakhir persiapan kerana mereka memiliki tugas dalam saingan Piala Malaysia bersama pasukan masing-masing. Apa yang membimbangkan saya adalah pemain-pemain yang berlatih tetapi tidak dapat berada dalam kesebelasan utama," ujarnya.