Jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, mengakui Malaysia telah terlepas peluang untuk meneruskan kemaraan dengan selesa ke separuh akhir Kejohanan AFF akibat ketumpulan di depan gawang lawan.

Secara keseluruhan, Malaysia mendominasi perlawanan bertemu Timor Leste semalam tetapi kegagalan menyempurnakan peluang menyebabkan skuad negara sekadar berpuas hati dengan keputusan seri 1-1.

Hodak tidak dapat menyembunyikan kekecewaan tetapi dalam masa sama memberi jaminan bahawa perubahan akan segera dilakukan anak buahnya menjelang aksi dengan Myanmar esok.

"Kami harus menuju ke perlawanan menentang Myanmar dengan semangat mendapatkan tiga mata.

"Setakat ini, dua lagi kecederaan dihadapi oleh Malaysia dan kami akan lihat sama ada mereka dapat beraksi atau tidak," kata Hodak.

Sementara itu, jurulatih Timor Leste, Kim Shinhwan, melabelkan kelemahan pasukannya hanya melibatkan saiz fizikal pemain yang lebih kecil selain terlalu terburu-buru dalam setiap peluang yang terhidang.

"Masalah yang kami hadapi adalah pemain terlalu terburu-buru. Faktor fizikal juga gagal disaingi," ujar Shinhwan.