Ketua jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak, hampa apabila melihat pasukannya gagal mencetak kemenangan ke atas Selangor FC selepas terikat 1-1 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Petaling Jaya semalam.

Gol sendiri Giancarlo Gallifuoco pada penghujung permainan memadamkan jaringan Dominique Da Sylva buat The City Boys untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan pungutan satu mata.

Bagaimanapun, Hodak melihatnya sebagai perkara normal dalam situasi yang cukup genting pada penghujung permainan.

"Saya fikir keputusan seri ini adalah adil kerana mereka lebih menguasai permainan dan bola.

"Pada akhirnya mereka menjaringkan gol dalam perlawanan di mana kami boleh memenanginya.

"Saya fikir secara keseluruhannya ia adalah keputusan yang adil," katanya.

Sementara itu, pengendali Selangor, Karsten Neitzel, mengakui anak buahnya masih mencari rentak walaupun ramai beranggapan pasukan Gergasi merah itu mampu menjadi pencabar gelaran musim ini.

Bagaimanapun, kesediaan Selangor untuk berdepan juara Liga Super tujuh kali, JDT, Rabu ini tampak meragukan tetapi Neitzel berasakan setiap perlawanan akan membawa satu kisah berbeza.

"Rabu ini, kami akan mencuba bermain dengan baik di Johor dan memilih kesebelasan utama terbaik.

"Kami perlu menentukannya dalam tiga hari ini," katanya.