Hodak gusar tahap kecergasan dua tonggak

Penulis Jemputan
Oktober 17, 2018 10:59 MYT
Pengendali skuad B-19 negara, Bojan Hodak, melahirkan kebimbangan terhadap kecergasan dua pemain tonggaknya, Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Akhyar Rashid menjelang Kejohanan AFC B-19 di Jakarta, bermula Sabtu ini.
Nik Akif dan Akhyar tidak banyak mengikuti latihan persediaan bersama skuad B-19 negara kerana dipanggil menyertai skuad senior kendalian Tan Cheng Hoe.
Ia memberi kebimbangan buat Hodak untuk kedua-dua pemain itu menyesuaikan diri dengan taktikal miliknya.
Lebih merisaukan, kedua-dua pemain itu tidak banyak bermain selama 90 minit bersama skuad kebangsaan mahupun dengan pasukan negeri masing masing.
"Apa yang saya gusarkan adalah kedua-dua mereka tidak bermain selama 90 minit.
"Saya tidak pasti sama ada mereka mampu bertahan untuk tempoh itu," kata Hodak
Malaysia bakal membuka tirai saingan Kumpulan D menentang Arab Saudi, Sabtu ini.
"Kami mempunyai beberapa pemain yang cedera ketika berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini, namun kesemua pemain sudah pulih sepenuhnya," tambah Hodak.