Bojan Hodak tidak gembira, Frank Bernhardt pula pening kepala.

Demikian reaksi jurulatih Kuala Lumpur City dan UiTM FC itu sebaik tamat aksi 90 minit di Cheras, malam tadi.

Walaupun meraih tiga mata menerusi jaringan tunggal Dominique Da Sylva, namun ia belum cukup untuk memuaskan hati Hodak selepas ketangkasan penjaga gol, Kevin Mendoza, kerap dituntut untuk menyelamatkan maruah KL Hawks.

"Kevin banyak menyelamatkan kami dan kami layak dengan tiga mata ini.

"Tetapi hanya inilah satu-satunya kegembiraan saya," katanya dalam sidang akhbar semalam.





Malah, pakar taktikal dari Croatia itu turut menegur beberapa pemain yang banyak melepaskan peluang jaringan terutama wira perlawanan tersebut malam tadi sambil menagih penyudah lebih tajam dalam setiap perlawanan selepas ini.

Dalam masa sama, wajah muram Bernhart menjawab segala-galanya.

Jurulatih dari Jerman itu kesal dengan prestasi pemainnya yang dilabel tidak menjadi ketika pencarian mata amat diperlukan.

"Kami tidak beraksi secara sepasukan dengan baik.

"Saya meletakkan dua penyerang dalam kesebelasan utama dan mereka sentiasa diekori oleh pertahanan lawan.

"Jadi sentiasa ada ruang besar di antara pemain di bahagian depan dan belakang.

"Lantaran itu padang menjadi lebih besar lalu memberi ruang kepada lawan untuk membuat hantaran.

"Ia kerap berlaku," kata Bernhardt.

⚽ JADUAL PERLAWANAN LIGA SUPER 2021 - LS3 Saksikan siaran langsung Melaka United FC lwn Sri Pahang FC di TV1 dan RTM...

Posted by Malaysian Football League on Thursday, March 11, 2021