Jurulatih KL City FC, Bojan Hodak, mengakui 'aura' bilik persalinan ketika rehat separuh masa pertama jadi pencetus kejayaan.

KL City menundukkan Sri Pahang FC 2-0, sekali gus melebur kemarau 10 tahun kemenangan di Stadium Darul Makmur.

KL City yang menang 2-1 ke atas skuad Tok Gajah dalam aksi pusingan pertama di laman sendiri, dihidangkan deretan peluang jaringan pada 45 minit pertama.

Mengenal pasti ketumpulan penyudah di depan gol menjadi penghalang, anak buah Hodak bangkit dalam babak kedua sebelum berjaya meraih dua gol, masing-masing menerusi Romel Morales dan Zhafri Yahya.

Jelasnya, perbincangan dalam bilik persalinan mengubah semangat 'The City Boys' untuk memastikan kemenangan kedua berturut-turut buat julung kalinya musim ini.

"Kami bermula dengan baik selepas melakukan tiga percubaan pasukan dalam separuh masa pertama. Namun gagal menghasilkan jaringan ia menjejaskan sedikit permainan pasukan sebelum memberikan kata-kata semangat ketika rehat separuh masa dan kami berjaya memenangi perlawanan ini," kata Hodak.

Kemenangan tersebut juga membenarkan KL City mengekalkan rekod sembilan perlawanan tanpa kalah musim ini.

Selain itu, ia dilihat sebagai motivasi terbaik untuk menghadapi ranjau berliku dalam baki tiga perlawanan terakhir apabila berdepan Terengganu, Kedah dan Johor Darul Ta'zim (JDT).