Guillermo Barros Schelotto berkata Gonzalo Higuain merupakan salah satu pemain impian LA Galaxy yang turut berminat dengan khidmat Blaise Matuidi dan Sami Khedira.

Higuain tampil dalam kesemua 26 perlawanan Serie A musim ini buat Juventus termasuk 16 kali memperkuatkan kesebelasan utama tetapi masa depan pemain berusia 32 tahun itu masih belum jelas.

Bintang Argentina itu masih memiliki kontrak sehingga penghujung musim depan dan walaupun sedar perpindahan ke MLS tampak mustahil buat Higuain, Schelotto gembira jika rakan senegaranya itu menyertai Galaxy.

"Ia menjadi satu impian, kami bercakap tentang salah seorang penyerang tengah terbaik di dunia," katanya.

"Saya menyaksikan sesi temubual Gonzalo yang mahu kekal di Juve dan Eropah. Mungkin terlalu awal untuknya tetapi apa sahaja boleh berlaku dalam bola sepak.

"Secara peribadi, saya mengenali keluarganya, bapanya, Jorge, serta abang, Federico. Kami sudah membawa masuk pengganti Zlatan Ibrahimovic iaitu Javier Hernandez dan gembira dengannya.

"Dalam situasi Higuain, ia perkara berbeza. Ia adalah impian masa depan tetapi tidak akan mudah."


Higuain bukan satu-satunya pemain Juve yang berada dalam radar Schelotto tatkala Matuidi dan Khedira turut menjadi sasaran.

"Pemain hebat seperti Matuidi dan Khedira menarik perhatian kami walaupun sukar untuk membuat ramalan," tambah Schelotto.

"Berdasarkan situasi masalah kesihatan yang sedang dilalui, kami tidak tahu apa akan berlaku ketika musim panas nanti."