Higuain masih penyerang utama Juve

Penulis Jemputan
September 27, 2017 03:04 MYT
Walaupun kini menghadapi kemarau jaringan, penyerang Juventus, Gonzalo Higuain, tetap merupakan pemain utama kelab juara Itali itu.
Perkara itu diakui oleh pengurus pasukan, Massimiliano Allegri, selepas penyerang Argentina itu hanya menjaringkan dua gol buat pasukan pada musim ini sehingga terpaksa direhatkan ketika membenam cabaran Torino 4-0 dalam saingan liga, hujung minggu lalu.
Walaupun tidak mengesahkan penampilan Higuain dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Olympiacos, awal pagi esok, Allegri tetap mempertahankan pemainnya itu.
"Higuain bukan satu masalah. Ia menjadi masalah jika dia tidak bermain untuk Juventus.
"Berbekalkan pilihan yang saya miliki di barisan hadapan, mungkin akan ada penyerang yang saya terpaksa letakkan di bangku simpanan," ujar Allegri.
"Higuain hanya perlu tenang dan fokus pada persembahannya. Dia masih lagi pemain penting buat kami.
"Saya ada bercakap dengannya dan dia berada dalam keadaan baik. Dia hanya perlu bersedia apabila diperlukan.
"Dia harus sentiasa berfikir secara positif, terus cuba melakukan apa yang dia boleh cipta buat pasukan," katanya lagi.
Sama ada Higuain beraksi atau tidak, Juve tiada pilihan selain menewaskan wakil dari Greece itu selepas tewas 0-3 dalam perlawanan pembukaan di tangan Barcelona.
#Juventus #Massimiliano Allegri #Liga Juara-Juara Eropah #Gonzalo Higuain