JUVENTUS 3 BAYER LEVERKUSEN 0

Gonzalo Higuain berkata sasaran utamanya di Juventus musim ini adalah untuk membuktikan bahawa dia layak untuk bersama pasukan itu selepas kesulitan yang dilaluinya dalam dua tempoh pinjaman di luar Turin.


Penyerang Argentina itu mencuri tumpuan ketika Bianconeri mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bayer Leverkusen dalam Liga Juara-Juara Eropah di tempat sendiri awal pagi tadi dengan menjaringkan gol pembukaan dan membantu jaringan Federico Bernardeschi.

Higuain kembali ke prestasi yang diidamkannya selepas melewati waktu suram ketika dipinjamkan ke AC Milan dan Chelsea musim lalu.

Sewaktu di Chelsea, dia menyertai jurulatih Juve, Maurizzio Sarri, yang pernah melatihnya di Napoli, dan sasarannya kini adalah untuk membuktikan nilainya bersama pasukan itu.

"Saya datang ke sini dengan keazaman yang hebat, saya mahu membuktikan yang saya boleh kekal di sini kerana perjalanan musim ini masih panjang," katanya kepada Sky Sport Italia.

Higuain menerima sambutan hangat daripada penyokong tuan rumah sebelum Cristiano Ronaldo melengkapkan kemenangan itu pada lewat permainan.

Dan dia gembira apabila usaha kerasnya dihargai dengan sambutan seperti itu.

"Ia prestasi yang amat baik, kami bermain dengan keazaman yang anda perlukan untuk perlawanan seperti ini.

"Saya gembira dengan jaringan dan prestasi ini.

"Penghormatan yang diberikan penyokong amat hebat, amat baik apabila penyokong mengiktiraf usaha keras yang anda lakukan.

"Kemenangan ini meletakkan kami semakin hampir untuk ke pusingan berikutnya walaupun kami tahu masih banyak usaha yang perlu dilakukan," tambahnya.