Pemain pertahanan Sepanyol, Dani Carvajal, menolak kritikan yang dilemparkan terhadap Fernando Hierro sambil menegaskan bahawa jurulatih itu berkemampuan membimbing gergasi Eropah.

Anak buah Hierro gagal menghadirkan prestasi kemuncak tetapi masih mampu meraih tangga teratas Kumpulan B, Piala Dunia Russia.

Legenda Real Madrid itu memikul tugas berkenaan susulan pemecatan mengejut Julen Lopetegui sehari sebelum sepak mula, dan pasukannya akan menghadapi pusingan 16 menentang Russia pada Ahad ini sebagai pasukan pilihan.

Di sebalik kritikan Bernd Schuster terhadap Hierro apabila berkata pengurus berusia 50 tahun itu bukanlah jurulatih mereka, Carvajal mempertahankan jurulatihnya di kem Sepanyol.

"Saya fikir dia (Hierro) lebih daripada sekadar mampu, saya tidak setuju dengan kata-kata Bernd Schuster," katanya dalam sidang akhbar.

"Kami mengenalinya dan kami melihatnya lebih daripada sekadar mampu untuk mengurus pasukan kebangsaan ini.

"Dia adalah jurulatih yang hebat dan kami berdiri teguh di belakangnya."

Ramai menganggap Sepanyol mendapat laluan lebih mudah di peringkat kalah mati. Bahkan, Carvajal mengakui beberapa pasukan pilihan -- termasuk Brazil, Perancis dan Belgium -- menghadapi cabaran lebih besar tetapi pertahanan Real Madrid berkenaan mengatakan setiap perlawanan akan menjadi sukar.

"Kami harus kritikal terhadap diri sendiri. Kami perlu memperbaiki prestasi kerana tiada lawan yang mudah dalam Piala Dunia," katanya.

"Memang benar cabaran lebih berat menanti dalam laluan kalah mati yang satu lagi, begitupun kami masih perlu berdepan tujuh lagi pencabar dalam pusingan 16.

"Kami harus memberi tumpuan untuk memperagakan prestasi yang baik terhadap Russia, selangkah demi selangkah."