Pemain tengah Bayern Munich, Corentin Tolisso, meninggalkan padang dalam keadaan dihimpit kecederaan teruk ketika pasukannya membelasah Hamburg 6-0 di Allianz Arena.

Pemain berusia 23 tahun itu dimasukkan pada babak kedua sebelum dilihat berlaga dengan tonggak pelawat, Vasilije Janjicic.

Kedua-dua pemain mengalami kecederaan tetapi Tolisso tampak lebih serius sehingga terpaksa diusung keluar oleh pasukan perubatan dan Heynckes menjelaskan dia sedang menunggu perkembangan pemain tengah Perancis itu daripada doktor pasukan, Hans-Wilhelm Muller-Wohlfahrt.

“Mereka telah berlaga kaki. Tolisso tampak sangat sakit dan kini sedang bersama Dr. Muller Wohlfahrt. Segalanya akan diketahui dari sana,” kata Heynckes.

Hatrik daripada Robert Lewandowski, dua jaringan Franck Ribery serta satu gol sumbangan Arjen Robben membolehkan Bayern berpesta di laman sendiri, membuatkan Heynckes menghamburkan pujian kepada anak-anak buahnya.

“Kami memulakan perlawanan dengan baik dan menjaringkan tiga gol awal. Sebelum rehat, kami sedikit terganggu tetapi pendahuluan membuatkan kami tidak panik.

“Secara keseluruhan, kami menguasai sebahagian besar perlawanan walaupun lawan tampak cuba melawan.”