Jupp Heynckes mengeluarkan kenyataan bercanggah dengan apa yang dikatakannya sebelum ini apabila mengesahkan Bayern Munich tidak berminat untuk mendapatkan penyerang muda Brazil yang mewakili Bordeaux, Malcolm.

Malcolm dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab besar Eropah sejak beberapa bulan lalu, menyaksikan Arsenal, Tottenham Hotspur dan Manchester United muncul pasukan paling berminat untuk meraih khidmatnya.

Bayern tampak menyertai perlumbaan buat pemain berusia 21 tahun itu pada bulan lalu selepas Heynckes mengesahkan Malcolm berada dalam radar pasukannya.

Bagaimanapun, apabila ditanya mengenai pemain Brazil itu semalam, dia menyifatkan Malcolm tidak berada dalam senarai dikehendaki oleh pendahulu Bundesliga itu.

“Saya tidak pernah menyaksikannya bermain. Jadi, saya tidak boleh memberikan sebarang pendapat mengenai Malcolm.

“Setakat ini, saya tidak rasa wujud sebarang minat untuk meraih khidmatnya. Namanya sering disebut dalam pasaran perpindahan tetapi tiada siapa yang benar-benar mengejarnya,” kata Heynckes.

Malcolm dilihat sebagai pengganti ideal buat Arjen Robben selepas bekas pemain Belanda itu sering ditimpa masalah kecederaan selama beberapa tahun.

Tahap kecergasan Robben sentiasa dipantau oleh Heynckes dan dia tidak akan beraksi menjelang pertemuan dengan RB Leipzig pada awal pagi Isnin, di mana kemenangan akan memastikan gelaran Bundesliga menjadi milik mereka.

“James Rodriguez akan bermain menentang Leipzig tetapi Robben masih belum sedia untuk diturunkan.

“Corentin Tolisso sudah mula menjalani latihan ringan dan akan menyertai skuad kebangsaan Perancis sementara Thiago Alcantara dijangka mula berlatih pada minggu depan,” katanya.