Bekas pemain tengah Bayern Munich, Ze Roberto, berkata Jupp Heynckes tidak berniat untuk melanjutkan kontraknya dengan kelab itu pada musim depan.

Heynckes menandatangani perjanjian jangka pendek apabila dilantik sebagai pengganti Carlo Ancelotti pada Oktober 2017.

Menjelang aksi antarabangsa, dia membimbing Bayern untuk mendahului 17 mata di puncak Bundesliga dan menempah pertemuan suku akhir Liga Juara-Juara dengan Sevilla dalam tempoh keempatnya mengendalikan kelab itu.

Heynckes membayangkan pada awal bulan ini bahawa dia hanya akan bertahan selama setahun lagi.

Justeru, Ze Roberto -- yang menikmati dua penggal di Bayern pada era 2000 -- mendakwa pengurus berusia 72 tahun itu memaklumkan kepadanya bahawa musim ini merupakan yang terakhir.

"Baru-baru ini, saya berpeluang untuk makan bersama Bayern, namun Heynckes berkata kepada saya, dia tidak mempunyai keinginan untuk meneruskan peranannya," kata bekas tonggak Brazil itu kepada Tz.

"Dia mahu meluangkan lebih banyak masa bersama isteri dan keluarganya. Sekiranya bukan kerana Bayern, dia tidak akan kembali.

"Dia benar-benar mengenali kelab itu, pemain juga amat menghormatinya. Elemen itu sangat penting dalam sesebuah pasukan dan saya faham bahawa mereka ingin mengekalkannya. Namun, dia memaklumkan kepada saya bahawa dia akan melakukannya hanya setakat akhir musim ini sebelum bersara."

Heynckes bukanlah satu-satunya anggota Bayern yang boleh meninggalkan kelab itu pada akhir musim ini kerana kontrak pemain berpengaruh, Franck Ribery dan Arjen Robben, juga akan berakhir.

Ze Roberto, bagaimanapun, percaya pasangan itu -- kedua-duanya berusia 34 tahun -- masih mampu menyinar bersama Bayern dan layak mendapat tawaran baru.

Beliau menambah: "Jika saya, saya akan melanjutkan kontrak dengan memejamkan mata, kedua-duanya masih merupakan pemain paling kreatif serta menjana gerakan yang sukar diramalkan.

"Begitupun, Bayern memerlukan pengganti muda dan membiarkan mereka matang di bawah bayangan kedua-duanya."