Pengurus Bayern Munich, Jupp Heynckes, memberi bayangan akan kekal mengendalikan pasukan ketika kontraknyaa bakal tamat pada akhir musim ini.

Heynckes menandatangani kontrak jangka pendek pada Oktober tahun lalu untuk menggantikan tempat Carlo Ancelotti selepas pengendali dari Itali itu dipecat.

Sejak kembali memegang jawatan itu, dia mengemudi pasukannya menduduki tangga teratas Bundesliga dengan kelebihan selesa sebanyak 20 mata serta layak ke separuh akhir Piala Jerman.

Heynckes sebelum itu pernah menguruskan Bayern sehingga Jun 2013 setelah membawa anak buahnya meraih tiga kejuaraan dalam satu musim dan pencapaian itu tampak mampu diulangi setelah menewaskan Besiktas 5-0 dalam aksi pertama pusingan kedua Liga Juara-Juara Eropah.

Walaupun dalam satu sesi temubual baru-baru ini dia menamakan Thomas Tuchel sebagai individu yang layak untuk menggantikannya, pengurus berusia 72 tahun itu mendedahkan dia kini sedang mempertimbangkan persetujuan untuk menandatangani kontrak baru.

“Apa yang boleh saya katakan bahawa keputusan masih belum dibuat tetapi belum tentu saya akan berundur pada musim panas akan datang. Dalam temuramah sebelum ini, saya hanya menunjukkan rasa hormat dan bangga dengan Tuchel, seseorang yang amat saya kenali.

“Bagaimanapun, jika anda amati semula, saya juga memberikan pujian kepada jurulatih-jurulatih lain,” katanya.

Tuchel berehat sejak dipecat oleh Borussia Dortmund pada Mei 2017 manakala pengurus Hoffenheim, Julian Nagelsmann, juga antara nama yang dikaitkan dengan juara bertahan Bundesliga itu.