TOTTENHAM 1 CRYSTAL PALACE 0

Paulo Gazzaniga mempamerkan aksi cemerlang buat Tottenham dengan menepis beberapa percubaan Crystal Palace sebelum Son Heung-min menjaringkan gol untuk memastikan kemenangan 1-0 di Wembley hari ini.


Ketiadaan Dele Alli dalam kesebelasan utama ternyata menumpulkan jentera serangan Spurs, namun penjaga gol simpanan, Gazzaniga, membuktikan kebolehannya bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Hugo Lloris dan Michel Vorm.

Gazzaniga tidak pernah beraksi dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Disember 2015 dan berjaya menampilkan persembahan cemerlang, menampan tiga percubaan pasukan pelawat.

Jaringan Heung-min pada minit ke-64 merupakan golnya yang ke-20 dalam saingan EPL, sekaligus memintas bekas bintang Manchester United, Park Ji-sung, sebagai penjaring terbanyak dari Asia.

Selepas mencipta kejutan ke atas Real Madrid dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL), Spurs gagal mengulangi persembahan mereka, namun misi mencari tiga mata berjaya dicipta bagi memastikan mereka terus kekal dalam kelompok empat terbaik di England.