Tanggal 12 April seharusnya diraikan peminat Gergasi Merah kerana ianya merupakan tarikh lahir pertahanan tengah, Tim Heubach.

Namun peminat 'skuad Merah Kuning' menerima tamparan hebat selepas Pengarah Sukan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Michael Feichtenbeiner, mengesahkan pemain tinggi lampai kelahiran Jerman itu berkemungkinan tidak dapat bermain selama enam minggu sebelum menjalani pembedahan Sabtu ini.

Apa pun, beliau tidak terkesan dengan impak kehilangan salah seorang tonggak utama di bahagian pertahanan Selangor itu.

"Dia mengalami kecederaan dalam separuh masa pertama dan cuba kekal beraksi bagi membantu pasukan. Dia telah dibawa ke hospital dan perlu menjalani pembedahan," katanya.

"Kini kami memiliki Manuel Konrad yang sudah bersedia beraksi dan kehadirannya sangat tepat dalam keperluan pasukan untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Heubach."