Ander Herrera mengesahkan dia sedia memberikan komitmen sepenuhnya untuk Manchester United selepas dikaitkan dengan perpindahan ke Barcelona.

Bekas pengendali Athletic Bilbao, Ernesto Valverde, yang dipilih sebagai jurulatih baru Barca pada minggu ini dan telah bekerjasama dengan Herrera sebelum ini, berminat untuk membawa pemain tengah itu ke Nou Camp.

Tetapi Herrera -- yang membuat 50 penampilan dalam semua kejohanan buat musim 2016-17 dan membantu United memenangi Perisai Komuniti, Piala Liga dan Liga Europa -- gembira kekal di Old Trafford dan mahu terus menabur bakti untuk kelabnya.

"Saya sangat berterima kasih kepada Manchester United kerana mereka telah ke Sepanyol untuk menandatangani saya tiga tahun lalu," kata Herrera.

"Satu sahaja sasaran setiap kali saya beraksi di atas padang adalah untuk membalas kepercayaan yang telah diberikan oleh kelab ini.

"Saya mahu terus bermain, bekerja keras, memperbaiki permainan saya, bukan untuk diri saya sahaja, malah untuk kelab dan pasukan saya. Saya mahu memenangi banyak lagi kejuaraan bersama United.

"Saya sangat gembira dengan perkembangan saya dan tidak mahu berhenti membanggakan penyokong kelab ini."