Paris Saint-Germain (PSG) berdepan masalah kecederaan sehari sebelum sepak mula Ligue 1 apabila Ander Herrera disahkan mengalami kecederaan betis.

Herrera, yang menyertai PSG selepas kontraknya bersama Manchester United tamat Jun lalu, beraksi ketika pasukan itu menewaskan Rennes 2-1 dalam Trophee des Champions selepas menyertai aksi pramusim yang padat bersama pasukan barunya itu.

Bagaimanapun, PSG mengesahkan Herrera, 29, mengalami kecederaan betis dalam sesi latihan semalam dan akan diketepikan selama tiga hingga empat minggu.

Ketua jurulatih PSG, Thomas Tuchel, masih mempunyai pemain tengah baru yang bernilai €18 juta (RM84.8 juta), Pablo Sarabia, di samping Marco Verratti, Idrissa Gueye dan Julian Draxler, namun kehilangan Herrera itu -- empat hari sebelum menentang Nimes -- merupakan satu tamparan hebat.

Herrera melakukan 22 penampilan dalam Liga Perdana Inggeris musim 2018-19, namun peluangnya terencat gara-gara siri kecederaan paha dan buku lali sepanjang kempen itu.

Selepas menewaskan Rennes, Tuchel berkata pemain itu perlu menyesuaikan diri dengan gaya permainan pasukannya.