Bekas penyerang Manchester United, Javier Hernandez, bingung sama ada akan meraikan jaringan seandainya meledak gol berdepan bekas pasukannya itu.

Hernandez bakal kembali Old Trafford sebagai penyerang terbaru West Ham United dalam aksi pertama Liga Perdana Inggeris, Ahad ini.

Pemain berusia 29 tahun itu meninggalkan United dua tahun lalu untuk menyertai Leverkusen selepas gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama di Theatre of Dreams.

Hernandez -- yang menyumbat 50 gol buat The Red Devils -- tidak pasti bagaimana untuk memberi reaksi seandainya meledak gol.

"Saya tidak pasti sama ada saya akan meraikan gol di Old Trafford," katanya.

"United adalah bekas kelab saya, bekas penyokong saya tetapi ia akan menjadi gol pertama saya buat West Ham.

"Saya tidak terlalu memikirkan perkara itu, saya hanya mahu turun sebagai kesebelasan utama dan cuba mendapatkan keputusan yang baik.

"Saya gembira kerana ini cara terbaik untuk saya kembali ke Old Trafford.

"Saya pemain West Ham, saya mahu memberikan aksi yang lebih baik berbanding di United. Saya tidak pernah menyesal berhijrah dari kelab itu."