Thierry Henry berkata beliau dan bekas rakan sepasukan di Arsenal, Patrick Vieira, "tidak akan saling menyukai" apabila mereka berentap sebagai pengurus untuk julung kalinya.

Henry dan Vieira, yang merupakan sebahagian daripada pasukan kebal Arsenal yang memenangi kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) 2004 tanpa kalah di bawah era Arsene Wenger, akan mengemudi aksi Ligue 1 dengan Monaco akan menyambut kehadiran Nice, awal pagi esok.

Monaco kini dibimbing Henry manakala Vieira pula dalam musim pertamanya sebagai pengurus Nice yang menduduki zon selamat di pertengahan liga.

Kedua-dua pengurus tersebut akan kembali bertentang mata di Stade Louis II dengan perpindahan Cesc Fabregas ke Monaco dari Chelsea akan menghangatkan lagi elemen Arsenal dalam perlawanan itu.

"Dia merupakan sahabat saya dan dia seorang yang saya kagumi," kata Henry.

"Bukan sahaja sebagai pemain, malah sebagai individu, dan aksi ini tidak akan mengubah hakikat itu.

"Namun, Monaco merupakan perkara paling mustahak berbanding Nice dan sedikit demi sedikit, kami tidak akan saling menyukai."

Vieira pula menghamburkan pujian tinggi terhadap Henry yang menjadi mesin gol Arsenal ketika era keemasan kelab itu.

"Kami sempat minum kopi sewaktu bercuti di London," kata Vieira.

"Kami membincangkan banyak perkara. Ini pertemuan pertama kami sebagai pengurus. Kami berkongsi banyak perkara tetapi semuanya akan diketepikan.

"Janggal untuk kami menghadapi satu sama lain sebagai pengurus. Kami memulakan karier kami di sini, dia di Monaco dan saya di Cannes.

"Ia adalah satu keadaan yang menggembirakan buat kami berdua. Saya tidak pernah membayangkan bahawa kami akan bertemu dalam aksi 'derby' seperti ini.

"Tidak banyak perkara yang boleh ditambah dalam karier Thierry. Apa yang dicapainya adalah luar biasa. Dia merupakan salah seorang pemain terbilang Perancis, sebaris dengan Michel Platini, Raymond Kopa atau Zinedine Zidane."