Thierry Henry menyertai barisan kejurulatihan Belgium secara tetap sehingga tamat saingan Piala Dunia Qatar 2022.

Bekas penyerang Perancis itu pernah berkhidmat buat The Red Devils selepas Roberto Martinez dilantik selaku ketua jurulatih pada lima tahun lalu.

Henry membantu Belgium mara ke separuh akhir Piala Dunia Russia pada 2018 sebelum berubah angin untuk membimbing Monaco.

Legenda Arsenal itu kemudian berpindah ke Liga Utama Amerika Syarikat (MLS) bersama Montreal Impact pada 2019, tidak lama selepas dipecat oleh kelab Ligue 1 itu.

Henry menamatkan tempohnya sebagai ketua jurulatih Impact pada Februari tahun lalu untuk kembali bersama Belgium menjelang Euro 2020.

Persatuan Bolasepak Diraja Belgium mendedahkan semalam bahawa bekas pemain berusia 44 tahun itu kini akan sekali lagi bekerjasama dengan Martinez bagi membantu The Red Devils memenangi gelaran utama buat kali pertama tahun depan.

Belgium kini menduduki tangga teratas Kumpulan E peringkat kelayakan dengan dua kemenangan daripada tiga perlawanan.