SHEFFIELD UNITED 0 LIVERPOOL 1

Liverpool mengekalkan rekod kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) hasil kesilapan Dean Henderson yang membenarkan The Reds meraih kemenangan 1-0 ke atas Sheffield United di Bramall Lane, sebentar tadi


The Reds berada di tahap terbaik dalam saingan liga, namun hampir kehilangan mata pertama bagi musim ini ketika berdepan skuad kendalian Chris Wilder itu.

Penjaga gol The Blades, Henderson, menghadiahkan kemenangan ke-16 berturut-turut pelawat selepas gagal mendakap percubaan Georginio Wijnaldum ketika perlawanan berbaki 20 minit.

Keputusan itu menyaksikan anak buah Jurgen Klopp itu mendahului dengan lapan mata ke atas penyandang juara, Manchester City, yang turut berdepan Everton hari ini.

Prestasi The Blades tidak jauh ketinggalan dengan skuad yang berkualiti pada permulaan permainan apabila dua kali hampir mendahului perlawanan.

Oli McBurnie melepaskan percubaan tepat ke dakapan Adrian pada minit ketiga sebelum rembatan Callum Robinson gagal menepati sasaran.

Sadio Mane, yang direhatkan ketika berdepan MK Dons dalam saingan Piala EFL, terlepas dua peluang terhidang.

Jaringan kemenangan akhirnya hadir pada minit ke-70 apabila rembatan voli Wijnaldum gagal didakap kemas Henderson sebelum bola meleret masuk melalui celah kakinya.

Penjaga gol pinjaman daripada Manchester United itu menafikan percubaan Salah daripada menggandakan jaringan, namun satu gol itu sudah memadai buat Liverpool kekal di persada liga.