Ketua jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe, yakin tiga misi penting menjadi fokus utama pemainnya dalam saingan Liga Super menentang PKNS FC di Stadium Darulaman, malam esok.

“Kami akan turun ke Stadium Darulaman menentang PKNS FC dengan misi mengekalkan rekod tanpa kalah, memungut tiga mata penuh dan terus kekal sebagai pendahulu Liga Super.

“Kami sangat menghormati kemampuan PKNS, namun dalam masa yang sama saya yakin semua pemain mahukan tuah kemenangan sentiasa bersama Helang Merah,” katanya.

Cheng Hoe juga mengesahkan semua pemain terbaik Helang Merah kecuali Sandro da Silva berada dalam prestasi terbaik dan bebas daripada sebarang kecederaaan, sekaligus boleh diturunkan dalam aksi kesembilan Liga Super menentang skuad Semut Merah.

“Berita baik untuk penyokong adalah kesemua pemain Kedah cergas sepenuhnya kecuali Sandro yang masih bergelut untuk pulih daripada kecederaan lutut,” katanya.

Ditanya mengenai isu panas yang membelenggu dirinya, Cheng Hoe tetap tenang dan memohon diberikan ruang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk menyelesaikannya.

“Saya tidak mahu komen tentang isu itu (kontroversi pelantikannya sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan), sebaliknya biarlah FAM dan KFA berbincang untuk mencari kata putus dalam masa terdekat.

“Namun, saya sudah berbincang dengan semua pemain Kedah dan nampaknya mereka cukup profesional dan tidak akan membiarkan isu di luar padang mengganggu prestasi pasukan,” katanya.

Kemenangan malam esok ke atas skuad kendalian E. Elavarasan akan membolehkan skuad Helang Merah terus unggul mengumpul 21 mata dalam sembilan perlawanan sambil melebarkan rekod tanpa kalah musim ini.