Penyerang Harimau Malaya, Ahmad Hazwan Bakri, mahu mengulangi aksi cemerlangnya di Stadium Larkin dengan meledak jaringan untuk membantu skuad negara mencapai keputusan
positif dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Lubnan, malam esok.


Selepas meledak tiga gol dalam saingan Liga Super musim ini bersama Johor Darul Ta'zim (JDT), dia dijangka bakal mengetuai jentera serangan Harimau Malaya.

"Saya berpendapat Malaysia dibarisi pemain-pemain terbaik yang berjaya dikumpul oleh pengendali pasukan, Nelo Vingada. Kami mahu mencipta kemenangan dalam perlawanan ini," katanya.

Dengan rekod cemerlang beraksi di Larkin, Hazwan berazam untuk memberikan yang terbaik dalam usaha meraih tiga mata penuh.

"Saya berharap dapat mengulangi prestasi saya seperti sebelum ini tetapi kami harus berwaspada dengan ancaman Lubnan dan perlu memberikan tumpuan sepanjang perlawanan."

Skuad negara akan bertemu Lubnan dalam perlawanan peringkat Kumpulan B kelayakan Piala Asia 2019, jam 9.45 malam esok di Larkin.