Empat penjaga gol pasukan hoki kebangsaan merebut peluang untuk menjadi pengganti S. Kumar selaku penjaga gol utama dalam Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh, November depan.

Bagaimanapun, persaingan itu lebih terarah kepada dua individu, iaitu Hazrul Faiz Ahmad Sobri dan Hairi Abd Rahman.

Dalam sesi latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil semalam, Hazrul Faiz memakai jersi nombor 16 milik penjaga gol lagenda, Kumar, dan ia meminbulkan persoalan sama ada dia akan mengalas tanggungjawab selaku benteng terakhir skuad negara.

"Saya belum terfikir untuk memakai jersi nombor 16 dan saya akan terus memakai jersi nombor 32 pada masa akan datang.

"Peluang masih terbuka untuk semua penjaga gol dan saya akan memberikan yang terbaik dan kembali kepada prestasi asal," katanya kepada Nadi Arena.

Dalam pada itu, Hairi, yang juga merupakan antara penjaga gol paling senior dalam skuad kebangsaan, menganggap Hazrul Faiz memiliki kelebihan daripada aspek pengalaman.

"Hazrul Faiz mempunyai lebih pengalaman daripada saya, termasuk pernah bermain dalam Piala Dunia Remaja 2013 dan mendapat tempat ketiga dalam kejohanan itu.

"Walaupun kurang pengalaman, saya akan memberikan komitmen yang tinggi untuk pasukan dan akan berkerja keras bagi mendapatkan prestasi terbaik semasa latihan," katanya.