Carlo Ancelotti berpendapat tiada orang lain lebih kecewa dengan masalah kecederaan Eden Hazard berbanding pemain kebangsaan Belgium itu sendiri.

Hazard menyertai Real Madrid daripada Chelsea pada 2019 dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai €100 juta (RM484.96 juta) tetapi bekas bintang The Blues itu mengalami siri kecederaan jangka panjang sejak tiba di ibu kota Sepanyol berkenaan.

Dia hanya dapat beraksi penuh selama 90 minit sebanyak empat kali dalam semua kejohanan dan menjaringkan lima gol daripada 51 penampilan buat Madrid dan ia mencetuskan kekecewaan buat penyokong dan media tempatan terhadap prestasi pemain berusia 30 tahun itu.

Hazard, bagaimanapun, telah tersenarai sebagai kesebelasan utama sebanyak lima kali musim ini -- secara keseluruhan sebanyak lapan penampilan sepanjang 382 minit waktu permainan -- tetapi pemulihan jangka pendeknya sekali lagi menjadi masalah, di mana Ancelotti mengesahkan pasukannya akan berkunjung ke laman Shakhtar Donetsk bagi perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) awal pagi esok tanpa penyerang itu.



Walaupun tidak dapat menurunkan bekas pemain Lille itu, Ancelotti menegaskan bahawa Hazard merupakan individu paling kecewa dengan kecederaan berulangnya selepas penyerang itu mengalami kelesuan otot sebaik pulang daripada tugasan antarabangsa.

"Hazard sudah letih dengan masalah ini, dia tidak cedera tetapi kelesuan," kata Ancelotti dalam sidang media sebelum perlawanan.

"Tiada siapa lebih kecewa berbanding Hazard sendiri. Saya fikir dia mungkin dapat kembali beraksi ketika menentang Barcelona atau Osasuna."