Eden Hazard mempertahankan prestasi Belgium ketika membelasah Panama dan percaya ini merupakan detik terbaiknya dalam Piala Dunia Russia.

Pasukan yang diberi jolokan Red Devils itu menewaskan Panama 3-0, Isnin lalu, begitupun ia masih belum mencukupi untuk mengelakkan kritikan, khususnya prestasi tanpa gol dalam separuh masa pertama.

Penggempur Chelsea, Hazard, berasakan jangkaan dipikul Belgium kurang realistik biarpun mengharapkan prestasi lebih baik ketika menentang Tunisia, esok.

Dia memberitahu Het Nieuwsblad: "Peminat menaruh harapan besar tetapi kami telah saksikan dalam Piala Dunia ini -- kecuali perlawanan pertama melibatkan Russia -- hampir semua perlawanan telah dimenangi dengan jurang satu atau dua gol.

"Kami menang 3-0, ia bukan pencapaian yang begitu buruk.

"Penyokong selalu menyandarkan harapan tinggi terhadap Belgium bahawa kami perlu menampilkan aksi sempurna. Mereka menuntut kami menguasai 80 peratus permainan, mahukan kami melancarkan 50 percubaan dan menyumbat 40 gol!

"Bagaimanapun, permainan ini bukan seperti itu. Kadang-kadang anda menghadapi perlawanan yang sukar dan hanya menang 1-0, namun yang paling penting ialah kami menang. Kami mempunyai ramai pemain berbakat, maka tidak hairanlah kalau diletakkan harapan besar," tambahnya.

Hazard muncul salah seorang bintang kejohanan dan dia percaya Piala Dunia Russia adalah platform sempurna untuknya mempamerkan keupayaannya.

"Saya berasakan ini harus menjadi Piala Dunia saya," katanya. "Saya kini berusia 27 tahun, beraksi dalam kempen kedua Piala Dunia dan saya telah mengharungi musim yang hebat.

"Semua elemen perlu disatukan dalam permainan untuk kami mengharungi kejohanan yang bagus."

Pemain pertahanan Belgium, Thomas Vermaelen, kembali menjalani latihan dan akan diturunkan dalam perlawanan terakhir Kumpulan G menentang England pada 28 Jun nanti.

Vermaelen tetap disenaraikan oleh jurulatih, Roberto Martinez, walaupun ditimpa kecederaan semasa mewakili Barcelona pada 13 Mei lalu.

Justeru, tidak mungkin dia akan mengambil risiko diturunkan menentang Tunisia, pasukan yang Martinez perlu berwaspada.

"Mereka mempunyai keberanian tinggi dan sangat dinamik," kata bekas pengurus Everton berkenaan kepada FIFA.com.

"Pemain Panama mempunyai persefahaman yang baik antara satu sama lain dan mereka cukup bertenaga dan berintensiti ketika melancarkan serangan balas. Mereka bermain bola sepak secara langsung dan cekap."

Gol Tunisia dibatalkan oleh ketua pasukan England, Harry Kane, dalam aksi pembukaan untuk rebah 1-2 di Volgograd, namun mereka mempamerkan semangat juang yang tinggi di sebalik penguasaan The Three Lions.

Tunisia perlu membuat sekurang-kurangnya satu perubahan untuk menghadapi Belgium berikutan penjaga gawang, Mouez Hassen, sudah dihantar pulang bagi menjalani pembedahan bahunya yang tercedera.

PEMAIN TUMPUAN

Belgium: Romelu Lukaku


Penyerang Manchester United ini dua kali menemui sentuhan penyudah dalam kemenangan ke atas Panama dan satu lagi gol akan meletakkannya sebagai penyerang terbaik Belgium dalam kejohanan utama. Lukaku sudah mengumpul lima gol, kurang satu jaringan di belakang Jan Ceulemans.

Tunisia: Wahbi Khazri


Pemain tengah serba boleh ini gagal memainkan pengaruh besar seperti yang diharapkan ketika berdepan England berikutan kurang mendapat hantaran. Sekali lagi, dia akan ditugaskan untuk menjana serangan Tunisia ketika melawan Belgium.