Pengurus Chelsea, Antonio Conte, memberi isyarat bahawa pemain bintangnya, Eden Hazard, akan kekal beraksi di posisi “pemain no. 9 palsu”.

Tonggak Belgium itu tampak kecewa akibat sukar mendapatkan bola ketika beraksi selaku penyerang tunggal sewaktu Chelsea tewas 0-1 di tangan Manchester City, minggu lalu.

Skuad The Blues gagal menghadirkan sebarang ancaman ke kubu lawan sepanjang aksi 90 minit di Etihad itu sementara pengurus dari Itali itu secara terbuka menyatakan rasa tidak gembira dengan prestasi Hazard ketika tunduk 1-2 di tangan Manchester United dalam aksi sebelum itu.

Bagaimanapun, Conte memiliki alasan tersendiri untuk mengekalkan percaturan itu.

“Saya rasa lebih bagus untuk pasukan beraksi dengan corak sebegini. Mungkin saya boleh menerapkan permainan menggunakan penyerang sebenar dan saya mempunyai beberapa pilihan. Terdapat tiga pemain untuk dua posisi. Salah seorang akan duduk di bangku simpanan.

“Seperti yang anda tahu, saya tidak suka berkomunikasi dengan pemain melalui media. Itu bukan cara saya kerana lebih gemar berdepan dengan mereka,” kata Conte.

“Taktik yang sama digunakan ketika menentang Barcelona. Secara bertahan, kami mengharungi dua perlawanan yang baik.

"Jika anda melihat kepada statistik, kami hanya melepaskan dua percubaan kepada City: satu berakhir dengan jaringan sementara satu lagi menerusi sepakan percuma.

“Kebiasaannya, City akan meraih hampir 25 percubaan ke arah pintu gol dalam setiap perlawanan. Saya akui, jika dibandingkan dengan aksi dengan Barca, kami lebih banyak kehilangan bola. Jadi, kami harus meningkatkan persembahan.”

Kritikan secara terbuka Hazard terhadap corak yang diterapkan telah membuka mata banyak pihak, namun Conte mendedahkan dia juga melakukan perkara sama ketika bergelar pemain sewaktu di bawah kendalian Marcelo Lippi di Juventus.

“Saya pernah melakukannya ketika menjadi seorang pemain. Anda mahu tahu apa yang berlaku?

“Juventus, bersama Lippi. Kami beraksi bertemu Parma dan menang. Ketika waktu rehat antarabangsa, saya ditanya mengenai pasukan dan keputusan itu. Saya menjawab, “Kami menang tetapi saya tidak gembira dengan peranan yang diberikan jurulatih”.

“Selepas kembali, saya telah menerima hukuman teruk daripadanya serta kelab. Saya juga didenda, tidak bermain dalam aksi seterusnya menentang Piacenza. Anda boleh semak kisah benar ini,” ujarnya lagi.