Eden Hazard merupakan salah seorang pemain terbaik dunia dan masih bertambah baik, kata penolong pengurus Chelsea, Gianfranco Zola.

Dengan Liverpool mendahului 1-0 dalam perlawanan pusingan ketiga Piala Liga Inggeris (EFL) di Anfield awal pagi tadi, Maurizio Sarri memasukkan Hazard bagi menggantikan Willian pada minit ke-56.

Pemain antarabangsa Belgium itu mencetuskan inspirasi hebat, mendapatkan sepakan percuma yang membawa kepada jaringan Emerson Palmieri sebelum menghadiahkan kemenangan menerusi gol gerakan solo sensasinya.

Hazard telah melakar lima gol Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2018-19, dengan Sarri mendakwa dia boleh mencabar Kasut Emas selepas menetapkan sasaran 40 gol terhadap pemain berusia 27 tahun tersebut.

Zola berasakan terdapat lebih banyak lagi yang boleh ditawarkan Hazard yang merupakan salah seorang bintang Belgium yang mara ke separuh akhir Piala Dunia di Russia.

"Saya fikir ia satu jaringan yang hebat dan bukan sahaja kerana ia cantik tetapi lebih menjurus kepada detik jaringan itu," kata Zola kepada Sky Sports.

"Dia bersendirian berdepan empat pertahanan lawan, ia satu gol yang luar biasa.

"Dia bukan sekadar salah seorang yang terbaik dalam EPL --- jika bukan yang terbaik -- dia adalah salah seorang yang terbaik di Eropah jika bukan di dunia.

"Eden berkembang pesat dalam kematangan dan pilihan yang dibuatnya di atas padang, dan pada pandangan saya, kami belum lagi melihat yang terbaik daripada dia. Dia cukup luar biasa."

Chelsea sekali lagi akan menentang Liverpool dalam aksi EPL, Sabtu ini, dengan rekod belum kalah kedua-dua pasukan menjadi taruhan di Stamford Bridge nanti.

Meskipun dia memastikan Chelsea meraih tempat dalam pusingan Piala EFL, Hazard tidak meragui bahawa pertemuan liga adalah lebih penting minggu ini.

"Keputusan ini akan menyuntik keyakinan kami kerana kami seri dengan West Ham empat hari lalu," kata Hazard kepada Sky Sports.

"Perlawanan pada Sabtu lebih penting, kami perlu mencuba dan mengalahkan Liverpool pada Sabtu ini."