MALAYSIA 6 SRI LANKA 0

Malaysia membuktikan Sri Lanka bukan lawan setara buat mereka apabila berpesta gol dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.


Baik di posisi serangan, tengah mahupun pertahanan, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu jelas lebih baik dalam setiap keadaan untuk menamatkan aksi pemanas badan itu dengan kemenangan 6-0.

Hatrik pemain tengah, Syafiq Ahmad, melengkapkan malam indah buat Malaysia sambil Shahrul Saad, Norshahrul Idlan Talaha dan Akhyar Rashid turut menempa nama selaku penjaring.

Jelas jurang 48 anak tangga dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dapat digambarkan menerusi penguasaan total Malaysia sepanjang 90 minit permainan.

Sepanjang tempoh itu, Sri Lanka selaku pasukan di ranking kedua tercorot Asia (ke-202 dunia), tidak dapat memberikan sebarang jawapan terhadap setiap pergerakan yang dilancarkan Malaysia (ranking ke-158 dunia).

Malaysia bermula baik dengan memperoleh tiga gol dalam tempoh 17 minit pertama dengan Syafiq terlebih dahulu menewaskan penjaga gol lawan, Luthfi Hilmi.

Menerusi gerakan awal Matthew Davies, Syafiq membuka ruang untuk Safawi bergerak bebas di bahagian kanan sebelum berhasil mendapatkan kembali bola dan merobek gawang Luthfi pada minit kesembilan.

Lima minit kemudian, giliran Shahrul menambah jaringan negara apabila pertahanan tengah itu memanfaatkan hantaran daripada sepakan sudut Safawi yang sempat ditanduk ke belakang oleh Syafiq.

Norshahrul menambah duka pelawat hasil jaringannya pada minit ke-17 dengan menyudahkan hantaran leret Syafiq untuk memastikan Harimau Malaya ke bilik persalinan dengan kelebihan tiga gol.

Tiada sebarang petanda untuk skuad negara mengendurkan asakan dalam babak kedua dengan jaringan seterusnya tiba selepas enam minit perlawanan bersambung.

Akhyar, yang hanya menunggu di depan gawang, tidak mensia-siakan kesilapan Luthfi, yang gagal menangkap kemas hantaran lintang Norshahrul, untuk turut tersenarai selaku penjaring.

Kegagalan pertahanan Sri Lanka membina perangkap ofsaid pada minit ke-76 menjadi pencetus kepada jaringan kedua Syafiq apabila penggempur negara itu mengawal kemas bola hasil tandukan awal Brendan Gan untuk melakukan larian solo yang kemudian disudahkan dengan penyudah kaki kanan ke penjuru bawah gawang skuad kendalian Nizam Packeer Ali itu.

Di sebalik kegilaan skuad negara memburu jaringan, wujud kebimbangan mengenai tahap kecergasan Brendan apabila tonggak tengah itu kelihatan terhincut-hincut selepas dikasari Mariyathas Nitharshan pada minit ke-87.

Seminit menjelang masa penuh, Syafiq mencetak hatriknya dengan melambungkan bola dari luar kotak penalti untuk melengkapkan kemenangan besar skuad negara.

Bagaimanapun, kejayaan ke atas Sri Lanka itu bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan skuad negara memandangkan pasukan dari Asia Selatan itu bukan lawan setara jika dibandingkan dengan Vietnam yang akan dihadapi dalam pusingan kedua kelayakan Piala Dunia Qatar 2022 Khamis ini.

Bahkan, kecederaan yang dialami Brendan pasti akan memeningkan lagi kepala Cheng Hoe selepas turut kehilangan khidmat Norazam Azih, J. Partiban dan Shahrel Fikri Md. Fauzi.

"Ia satu keputusan terbaik dan secara keseluruhannya, saya berpuas hati kerana pada hari ini, barisan pemain memberikan fokus dan komitmen yang tinggi sejak minit pertama.

"Kami perlu kekalkan keyakinan dengan keputusan positif ini apabila bertandang ke Vietnam," kata Cheng Hoe.

Bagi Nizam pula, perlawanan di Stadium Nasional itu merupakan pendedahan terbaik buat anak buahnya sebelum berdepan Korea Selatan dalam aksi kelayakan berikutnya.

"Ia perlawanan yang bagus memandangkan kami akan bertemu Korea Selatan selepas ini.

"Ia satu perlawanan sukar yang sukar dan tekanan (seperti perlawanan ini) bagus untuk anak buah saya membiasakan diri," katanya.