Ifedayo Olusegun menghidupkan semula semangat Selangor ketika membantu pasukan merakamkan kemenangan bergaya 3-1 ke atas Perak dalam aksi Liga Super di Stadium MBPJ, sebentar tadi.

Selangor melewati situasi sukar apabila tewas 2-1 kepada Kedah dalam aksi terdahulu, bertemu Perak, yang meraih kemenangan 3-2 ke atas UiTM.

Skuad kendalian Karsten Neitzel itu memulakan permainan dengan cemerlang apabila berjaya mendahului saingan awal minit kelapan perlawanan, gerakan Jordan Ayembila daripada sayap kiri berjaya mencari Ifedayo untuk menampan masuk mudah bola menembusi gawang.

Selangor terus melakar usaha mencari jaringan tambahan, Oliver Buff yang dijatuhkan pemain Perak pada minit ke-31, Ifedayo sekali lagi bertindak selaku penjaring menerusi sepakan penalti.

Ifedayo melengkapkan hatriknya dalam separuh masa kedua, menerusi sepakan sudut yang diambil Mukhairi Ajmal, berjaya ditanduk Brendan Gan sebelum disambar Ifedayo pada minit ke-71.

Perak memperoleh jaringan saguhati dalam masa kecederaan, hantaran silang bekas penyerang Selangor, Guilherme de Paula berjaya disudahkan oleh Farid Khazali namun sudah terlewat bagi mencari peluang menyamakan kedudukan.



Keputusan lain:

JDT 3 PJ City 0

KL City 2 SRI PAHANG 1

UITM 0 MELAKA UNITED 3

Liga Perdana

SARAWAK UNITED 7 Skuad Projek FAM-MSN 1