PERAK 2 KELANTAN 4

Mohammed Ghaddar muncul wira apabila menyumbang hatrik untuk membantu Kelantan merakam kemenangan 4-2 ke atas Perak dalam aksi Liga Super di Ipoh, malam ini.


Kelantan turun dengan harapan menghapuskan badi tiga kekalahan berturut-turut tetapi Perak mahu memberikan kemenangan pertama kepada jurulatih baharunya, Mehmet Durakovic, di gelanggang sendiri.

Perak memulakan aksi dengan garang dan hampir mendapatkan gol pertama apabila rembatan penyerang importnya, Yashir Pinto, berjaya ditepis penjaga gol The Red Warriors (TRW), Mohd Ramadhan Abdul Hamid, yang pertama kali diturunkan menggantikan Khairul Fahmi Che Mat.

Pada minit ke-17, The Bos Gaurus meraih gol pembukaan melalui gerakan Mohd Zaquan Adha Abdul Razak yang melepasi asakan keras dua pemain pertahanan TRW sebelum melambungkan bola ke dalam kawasan penalti untuk ditanduk penyerang import, Vladislav Mitkov Mirchev.

Selang dua minit kemudian, Kelantan melancarkan serangan pantas dan hampir mendapatkan gol penyamaan melalui sepakan kencang Ghaddar, malangnya percubaan itu terus ke dakapan penjaga gol, Mohd Hafizul Hakim.

Kelantan menyamakan kedudukan melalui gerakan 'satu dua' di antara Ghaddar dan Zairul Fitri Ishak untuk menewaskan Hafizul pada minit ke-37.

Lima minit terakhir babak pertama, Perak melancarkan serangan bertali arus dan hampir menambah jaringan melalui rembatan kencang Mohd Hafiz Kamal yang melewati palang.

TRW hampir menambah gol melalui larian pantas Ghaddar yang melepaskan sepakan kencang yang dihalang Hafizul pada minit ke-47 dan 48.

Selepas itu, Perak hampir menambah jaringan apabila lambungan cantik Zaquan gagal ditanduk kemas Mirchev sambil Mohd Ramadhan sudah tertewas.

Kelantan melakukan pertukaran pertama dengan mengeluarkan Zairul Fitree Ishak dan memasukkan S. Thinagaran pada minit ke-65 bagi mengukuhkan benteng yang menerima asakan hebat Perak.

Pada minit ke-75, gerakan cantik yang dilakukan Ghaddar mengucar-kacirkan pertahanan Perak sebelum melorongkan bola kepada Khairul Izuan, malangnya rembatan kencang Izuan tersasar.

Ghaddar terus membuktikan sentuhan berbisanya apabila menyudahkan hantaran cantik kapten, Mohd Badri Radzi, pada minit ke-83.

Tiga minit kemudian, tindakan Hafizul menjatuhkan penyerang muda Kelantan, Mohd Danial Asyraf Abdullah, memaksa pengadil menghadiahkan penalti yang mudah disempurnakan Ghaddar.

Perak memperolehi gol kedua melalui Mirchev yang melepaskan sepakan leret menewaskan Ramadhan, hasil sepakan percuma Mohd Hafiz Kamal pada minit ke-90.

Dalam masa kecederaan, Indera Putra Mahyuddin pula menghapuskan sisa perjuangan Bos Gaurus melalui rembatan kencang untuk gol keempat TRW bagi anak buah Zahasmi Ismail membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.

Keputusan:

T-Team 0 Felda United 0
P Pinang 1 Melaka United 1
Perak 2 Kelantan 4
Selangor 1 Kedah 1