Hassan Sazali Waras sedar tugas berat pelantikannya sebagai ketua jurulatih skuad projek FAM-MSN bagi menggantikan Yusri Che Lah yang melepaskan jawatannya, 10 Disember lalu.

Meskipun hanya mengikat kontrak selama setahun, jurulatih kelahiran Perak itu optimis untuk mencapai sesuatu yang positif.

Sedar akan tugas berat yang bakal digalas, Hassan bagaimanapun tetap yakin mampu membentuk pasukan mantap menjelang Piala AFF B- 19 di Indonesia, Ogos depan dan Piala AFC B-23 (September).

Pengendali berusia 56 tahun itu mahu menjadikan saingan Liga Perdana 2022 sebagai medan terbaik buat anak buahnya meraih minit aksi kompetitif.

Tanpa berselindung, Hassan enggan lagi skuad Projek FAM-MSN menjadi lubuk tiga mata pada musim depan.

"Saya tercabar untuk menyahut tugasan ini. Saya mahu melahirkan pelapis kepada pasukan B-22 dan kebangsaan.

"Dengan barisan muda -- 13 pemain sedia ada -- saya dalam rangka memilih pemain baru yang dijalankan dari 1-3 Januari ini," katanya di Nadi Arena.

Untuk rekod, Hassan pernah bertindak sebagai penolong jurulatih Harimau Muda A dan Harimau B kepada Datuk Ong Kim Swee dari tahun 2009 hingga 2013 sebelum mengemui Harimau Muda C pada 2014 dan 2015.