PERAK 1 JDT 2

Johor Darul Ta'zim (JDT) meraikan kejayaan merangkul kejuaraan Liga Super 2018 di
Perak apabila berjaya membenam tuan rumah 2-1 di Stadium Perak, sebentar tadi.


Ia adalah kejayaan kelima berturut-turut JDT menjuarai Liga Super sejak 2014 sebagai menyerlahkan jurang besar di antaranya dan pasukan-pasukan lain hingga kejayaan ini dimuktamadkan ketika saingan liga masih berbaki empat perlawanan.

Corak berhati-hati dipamerkan kedua-dua pasukan pada awal permainan dengan bola banyak berlegar di kawasan tengah padang.

Bagaimanapun, penyerang Perak, Gilmar Da Silva, mempunyai peluang terbaik pada minit ke-22 untuk meletakkan Perak di hadapan, namun sepakan leretnya sedikit tersasar.

JDT pula berpeluang merobek gawang tuan rumah tetapi sepakan Fernando Marquez terkeluar sedikit di penjuru kiri gawang Perak.

Sebelum wisel terakhir separuh masa pertama ditiupkan, Gilmar sekali lagi melolosi perangkap ofsaid
tetapi rembatannya terkena tiang walaupun berjaya penjaga gol JDT, Mohd Farizal Marlias, sudahpun tertewas.

JDT memperkemaskan permainan serta melakukan asakan ke kubu Perak dalam babak seterusnya.

Gonzalo Gabrera meluru kemas dan melakukan sepakan lencong cantik, namun layangan Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy juga cemerlang untuk menepis percubaan berkenaan.

Perak kemudian mendapat tendangan percuma pada minit ke-63 selepas Mohd Nor Hakim Hassan
dikasari, namun sepakan Leandro Dos Santos terkena palang.

Akhirnya, Stadium Perak bergema apabila Perak mendahului pada minit ke-72 apabila
Nor Hakim tidak melepaskan peluang untuk merembat cantik ke arah gawang JDT.

Keceriaan Perak tidak lama apabila JDT mengikat kedudukan 1-1 tiga minit kemudian lantaran sepakan
percuma Muhammad Safawi Rasid ditanduk kemas ketua pasukan, Hariss Harun.

Perak terus suram apabila Safawi menjaringkan gol kedua JDT hasil umpanan cantik Cabrera pada minit ke-83, sekali gus mengesahkan kejuaraan milik skuad Harimau Selatan itu.

KEPUTUSAN LAIN:

TERENGGANU 3 KUALA LUMPUR 1

MELAKA UNITED 4 KEDAH 1