Pengurus Negeri Sembilan, Datuk Mohd Haslah Mohd Amin, mengesahkan bahawa penjaga gol, Ahmad Syihan Azmi, yang merupakan salah seorang pemain skuad B-23 tahun negara, positif doping semasa menghadapi Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23.

Usahasama Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) sudah tidak membenarkan Syihan diturunkan sejak aksi bertemu Kuala Lumpur, Rabu lalu.

Semuanya berdasarkan ujian doping sampel A Syihan di Kunshan, China -- yang difahamkan mengandungi steroid anabolik yang bertujuan membantu pembinaan otot.

Syihan kini sedang menunggu proses siasatan yang akan dikendalikan AFC.

"Kami telah diberitahu oleh pihak FAM bahawa Syihan digantung daripada beraksi apabila positif mengambil bahan terlarang tersebut," kata Haslah.

"Pada pandangan saya, Syihan tidak menyedari bahawa makanan tambahan yang diambilnya mengandungi bahan terlarang," ujarnya lagi.

Kes doping ini membuatkan masa depan Syihan bersama Negeri Sembilan dilihat semakin samar.

Walaupun belum ada sebarang keputusan, Haslah berkata satu perbincangan mengenai masa depan Syihan bersama Negeri Sembilan akan diadakan secepat mungkin.

"Buat masa ini, Syihan tidak dapat diturunkan beraksi dalam mana-mana aktiviti yang berkaitan dengan bola sepak. Kami akan berbincang mengenai kontraknya dalam masa terdekat," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, memaklumkan bahawa Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) diberi tempoh untuk mencari pengganti Syihan.

Menurutnya, FMLLP tidak boleh membenarkan Syihan beraksi sepanjang tempoh siasatan biarpun pemain itu belum didapati bersalah.