Penyerang UiTM FC, Asnan Awal Hisham, menjadi watak utama untuk pasukannya ketika membelasah tuan rumah, MISC-MIFA, 7-2 dalam aksi Liga Perdana, semalam.

Asnan sebelum ini bukanlah pilihan utama jurulatih UiTM, Wan Mustafa Wan Ismail, untuk diletakkan dalam kesebelasan utama.

Namun, kesungguhan yang ditampilkannya ketika sesi latihan membuat Wan Mustafa menyenaraikannya sebagai penyerang utama ketika bertemu MISC-MIFA.

Dia membalas kepercayaan itu dengan mencetak dua gol di samping membantu pasukan membuat beberapa lorongan serta larian berbahaya ke dalam kawasan penalti lawan.

“Sebelum ini, saya tidak tersenarai di dalam skuad bagi menghadapi perlawanan. Saya telah giat menjalani latihan dan akhirnya dipilih untuk menyertai kesebelasan utama pasukan,” kata Asnan.

Buat MISC-MIFA, ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut dan yang paling buruk sepanjang rekod mereka untuk musim ini.

Situasi ini meletakkan pasukan kendalian Jacob Joseph itu dalam kedudukan bahaya.

MISC-MIFA kini menghuni tangga kedua tercorot Liga Perdana apabila hanya mengutip tiga mata selepas tujuh perlawanan.

“Pertahanan kami terlalu selesa di atas padang sehingga kehilangan tumpuan yang menjadi punca kami dibolosi,” jelas Leong Hong Seng, penolong pengendali MISC-MIFA.