Kejayaan menyingkirkan Felda United di peringkat suku akhir Piala Malaysia membuat kapten T-Team, Hasbullah Awang, berasa yakin mereka mampu untuk menewaskan sesiapa sahaja, termasuk Selangor.

Tiada siapa meramalkan Felda United boleh tersungkur, namun itulah yang telah dilakukan oleh T-Team yang mula mendapat jolokan 'giant killer' di pentas Piala Malaysia, musim ini.

Namun, tinggal hanya selangkah lagi ke perlawanan akhir, Hasbullah mendedahkan semangat rakan sepasukannya kini berada di tahap tertinggi selepas menewaskan Felda.

"Saya agak terkejut kerana kami dapat mengalahkan sebuah pasukan bintang. Mereka menduduki tangga kedua liga di samping layak ke Piala AFC tetapi kami masih mampu untuk menewaskan mereka," jelasnya.

Hasbullah turut berharap seluruh peminat dan rakyat Terengganu akan turun untuk memberikan sokongan kepada T-Team di Stadium Shah Alam, malam esok.

Menagih penuh sokongan daripada penyokong, Hasbullah berkata kehadiran mereka mampu untuk menyuntik semangat rakan-rakannya agar beraksi lebih bersungguh-sungguh.

"Saya berharap penyokong T-Team yang berada di Lembah Klang datang beramai-ramai ke Stadium Shah Alam bagi memberi sokongan kepada kami," tambahnya.