Kapten Terengganu FC (TFC) II, Mohd Hasbullah Awang, yakin masih mampu memberikan komitmen 100 peratus kepada pasukannya menjelang saingan musim 2019.

Menjangkau usia 36 tahun pada April ini, pemain pertahanan itu berkata soal persaraan belum terlintas di fikirannya dan mahu terus menyumbang keringat kepada TFC II.

Kehadiran beberapa muka baru, terutama daripada skuad Piala Presiden TFC III, juga diambil positif selain meletakkan sasaran lima terbaik dalam saingan Liga Perdana.

"Kehadiran pemain-pemain baru tidak menggugat semangat saya untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

"Selagi diberikan kepercayaan jurulatih, saya akan memberikan yang terbaik untuk meraih keputusan lebih baik," ujar Hasbullah.

TFC II melalui musim suram, tersingkir ke Piala FAM sebelum mengubat kedukaan dengan muncul juara edisi sulung Piala Cabaran.

Namun, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan TFC II akan beraksi dalam Liga Perdana dengan menggantikan Terengganu City (TCFC).