Nuno Espirito Santo menegaskan Harry Kane sebahagian dariapda perancangannya ketika menyasarkan untuk mahu kembali membawa Tottenham beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Nuno dilantik Spurs bulan lalu, menggantikan Ryan Mason, yang bertindak sebagai pengurus sementara sejak Jose Mourinho dipecat April lalu.

Paulo Fonseca dan Gennaro Gattuso antara jurulatih dalam perbincangan sebelum Nuno dilantik, dengan bekas pengendali Wolves itu dikaitkan dengan Crystal Palace kemudian Everton.

Salah satu tugasan Nuno adalah perlu meyakinkan Kane, segar daripada aksi cemerlang membawa England ke final Euro 2020, untuk kekal.

Kane menjelaskan dia terbuka untuk berhijrah, dengan laporan mencadangkan dia bakal menyertai Manchester City, yang sedang berbincang dengan Spurs.

Namun, Nuno berkeras Kane akan tetap sebagai pemain Spurs.

"Harry adalah pemain kami. Tiada perlu berbincang mengenai perkara lain," katanya.

"Sekarang adalah waktu untuk dia mendapatkan semula tenaga dan berehat. Kemudian kami akan berbincang. Saya berharap penyerang itu kekal bersama kami.

"Saya tidak memiliki sebarang keraguan. Apa yang saya harap Harry cergas sepenuhnya dan bersedia apabila kembali bersama pasukan.

"Saya sangat teruja memimpin skuad ini. Harry salah seorang pemain terbaik dunia. Itu sahaja perlu saya mahu katakan."