JDT 4 TERENGGANU 1
(JDT mara dengan agregat 5-1)

Johor Darul Ta'zim (JDT) memastikan pisang tidak berbuah dua kali di tangan Terengganu di peringkat kalah mati Piala Malaysia apabila merakam kemenangan 4-1 dalam pertemuan kedua suku akhir di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, sebentar tadi.


Berbekalkan kelebihan 1-0 ketika bertandang ke Kuala Terengganu minggu lalu, Harimau Selatan turun dengan tekad untuk menebus kehampaan disingkirkan lawan yang sama dalam separuh akhir musim lalu.

Peluang Sang Penyu seakan-akan sudah tertutup ketika menuju ke bilik persalinan apabila membenarkan gawang mereka dirobek empat kali, sekali gus memerlukan enam gol untuk setidak-tidaknya menafikan kemaraan seteru daripada Liga Super itu.

Sungguhpun dua peluang awal dimiliki Safawi Rasid disia-siakan, pesta jaringan tuan rumah bermula pada minit ke-16 selepas dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Gonzalo Cabrera.

Situasi bola mati terus menjadi titik tolak kepada JDT untuk mengukuhkan kedudukan dan kali ini, giliran Safawi mencetak nama selaku penjaring pada minit ke-22 dengan sepakan percuma yang dihalakan ke sudut bawah kanan pintu gol yang dikawal Ilham Amirullah Razali.

Pemain kebangsaan berkaki kidal itu terus menjadi duri dalam daging buat pelawat menerusi tendangan voli selepas lariannya yang tidak dikawal berjaya dihidu Diogo Luis Santo pada minit ke-36 -- gol ketujuhnya dalam kempen ini.

Skuad bimbingan Nafuzi Zain, yang pada awal permainan memberi saingan seimbang, hilang punca apabila kerap kehilangan bola gara-gara sering menggunakan hantaran tinggi.

Kedudukan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh La'Vere Corbin-Ong untuk melancarkan serangan balas yang mudah ditampan masuk Cabrera untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Terengganu seakan-akan memberi isyarat kebangkitan menerusi rembatan deras Lee Tuck dalam masa kecederaan separuh masa pertama, namun anak buah Benjamin Mora itu terus berkobar-kobar untuk meledak jaringan.

Ketika finalis tahun lalu itu mula mengorak asakan dan peluang paling hampir untuk mereka melakukan defisit gol adalah pada minit ke-65 yang menyaksikan percubaan Tchetche Kipre menggegar palang.

Penjaga gol JDT, Farizal Marlias, juga beberapa kali mematahkan percubaan lawan sementara hadangan lewat Corbin-Ong mengekang peluang Serhii Andrieiev dari jarak dekat.

Juara 2017 itu kemudian cuba mengukuhkan benteng dengan mengetengahkan Adam Nor Azlin sambil mengeluarkan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham, yang sudah mengutip kad kuning dan mula mengalami kekejangan, bagi memastikan kedudukan terus kekal 4-1 sehingga wisel penamat.


KEPUTUSAN LAIN:

Piala Cabaran
UKM FC 6 SARAWAK 1

(UKM mara dengan agregat 7-1)