Jurulatih Johor Darul Ta'zim (JDT), Mario Gomez, akan terus mengemudi kelab itu untuk jangka masa panjang selepas berjaya membawa pasukan menjulang kejuaraan Liga Super buat kali ketiga.

Jaminan itu diberikan pemilik pasukan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Tunku Ismail berkata tiada sebarang perancangan untuk menukar pengendali kelab dari Selatan itu pada musim depan, dan ingin mengekalkan Gomez, apatah lagi dengan kejuaraan Liga Super tiga kali berturut-turut.

Dari awal lagi, pengambilan Gomez sebagai ketua jurulatih bukan untuk jangka masa pendek dan Tunku Ismail mahu dia terus dikekalkan selepas ini bagi jangka masa yang lebih lama.

Kejuaraan kali ketiga tahun ini merupakan kejayaan yang paling istimewa buat baginda, apatah lagi berjaya menjadi kelab pertama meraih kemenangan hatrik Liga Super sejak tahun 2014.

"Mario Gomez adalah jurulatih jangka masa panjang saya. Saya juga menghantar jurulatih yang terdiri daripada anak Johor, yang kini berada di Sepanyol, Jerman dan Jepun.

"Satu hari nanti apabila kita sudah belajar kepakaran ini, barulah kita ada jurulatih," jelas Tunku Ismail.

Memandangkan JDT telah mengesahkan kejuaraan mereka, Tunku Ismail menegaskan tidak semua khidmat pemain utama akan digunakan dalam aksi Liga Super berdepan T-Team, esok, bagi memberi fokus kepada aksi separuh akhir Piala AFC nanti.

"Jurulatih dan saya telah berbincang dan kami terpaksa merehatkan sesetengah pemain untuk perlawanan pada 28 September.

"Esok kami mungkin akan turunkan pemain simpanan dan pemain utama kami juga mungkin tidak akan bermain dalam tempoh 90 minit."