TAIWAN 2 MALAYSIA 0

Skuad Harimau Malaya tumbang 0-2 kepada Taiwan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Perbandaran Taiwan, malam tadi.


Malaysia menurunkan Farizal Marlias sebagai benteng akhir sambil Mahali Jasuli, Irfan Zakaria, Shahrul Saad dan Fazly Mazlan melengkapkan barisan pertahanan.

Nik Akif Syahiran Nik Mat, Akram Mahinan, Syahmi Safaari, Nazmi Faiz dan Syazwan Zainon diberi kepercayaan untuk mengemudi bahagian tengah manakala Zaquan Adha Abd Radzak sebagai penyerang tunggal dalam skuad bimbingan Tan Cheng Hoe itu.

Perlawanan itu yang diaturkan sebagai persiapan menghadapi kempen Piala Suzuki AFF, November depan, berlangsung dalam keadaan padang becak.

Situasi itu sekali gus menyukarkan barisan pemain negara untuk mengetengahkan permainan hantaran pendek seperti yang dihajati Cheng Hoe.

Taiwan meledak gol dalam setiap babak menerusi Wu Chun-ching pada minit ke-13 dan Chu En-le pada minit ke-53.

Skuad Malaysia akan berganjak pula ke Phnom Penh untuk aksi pemanas badan seterusnya dengan Kemboja di atas padang rumput sintetik pada Isnin ini.