Harimau Malaya perlu bersifat serba boleh dengan menjadikan situasi bola mati sebagai aset untuk menundukkan lawan degil seperti Nepal dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, yang berkesudahan dengan kemenangan 2-0, semalam.

Permainan sepanjang 45 minit pertama lebih bertunjangkan kepada pemain kreatif seperti Safawi Rasid dan Syafiq Ahmad yang menyaksikan Malaysia mempamerkan corak permainan menarik.

Bagaimanapun, jaringan yang diharapkan tidak kunjung tiba buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu.

Sebaliknya, jaringan pertama Malaysia hanya hadir menerusi sepakan penalti Safawi pada minit ke-51 selepas kekasaran yang dilakukan pertahanan Nepal ke atas Akhyar Rashid.

Jaringan kedua pula dihasilkan pemain pertahanan, Shahrul Saad, yang berpunca daripada sepakan percuma Nor Azam Azih pada minit ke-82.

"Apa yang penting, kami juga dapat menghasilkan peluang juga dan seperti yang selalu saya tekankan, bola sepak bukan sekadar permainan terbuka tetapi gerakan 'set-piece' juga penting.

"Dengan situasi 50-50 dalam perlawanan, kami memanfaatkan gerakan 'set-piece' dan ia menunjukkan perkembangan positif terhadap pasukan ini," kata Cheng Hoe.

Kemenangan ke atas Nepal itu bukan sahaja menjadi suntikan semangat buat skuad negara tetapi ia juga persediaan terbaik menjelang perlawanan 'play-off' kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Timor Leste, Jumaat ini dan Selasa depan.

"Nepal merupakan perlawanan ujian dan pemanas badan yang baik kerana kita tahu Timor Leste juga akan bermain dengan corak permainan seperti itu.

"Mereka pasti akan bertahan dengan sebaik-baiknya dan kami perlu memanfaatkan setiap peluang yang hadir.

"Dalam masa sama, kami tidak boleh membenarkan mereka melakukan serangan balas dan barisan pertahanan kami perlu lebih fokus kerana mereka pasti akan mencipta peluang untuk menjaringkan gol," tambahnya.