Skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe berharap barisannya dapat mencapai kesefahaman segera menjelang perlawanan persahabatan pertama bertemu Jordan, Sabtu depan.

Jurulatih berusia 53 tahun itu berdepan kekangan masa setiap kali menyenaraikan pemain hingga ia juga menjadi punca mengapa Harimau Malaya hanya berkumpul sehari sahaja di Wisma FAM, Kelana Jaya, sebelum terbang ke Amman malam tadi bagi aksi persahabatan mereka berdepan tuan rumah, Jordan, dan Uzbekistan berlangsung pada 6 dan 9 Oktober depan.

"Kami kesuntukan masa untuk memanggil pemain bagi menyertai skuad kebangsaan kali ini.

"Perlawanan persahabatan ini merupakan pendedahan dan ujian terbaik kerana pemain dapat bermain dengan pasukan yang jauh lebih baik.

"Dalam masa sama, kami perlu uji muka-muka baru untuk masa depan supaya mereka sentiasa bersedia ketika dipanggil kelak," katanya di Nadi Arena.





Selepas kalendar antarabangsa yang bermula 4 hingga 14 Oktober ini tamat, Cheng Hoe hanya memiliki peluang seterusnya mengumpul pemain sempena Piala AFF yang jelas menjadi peluang persediaan bagi kempen kelayakan Piala Asia 2022/2023.

Jurulatih itu tidak memiliki banyak masa lagi untuk mempersiapkan anak buahnya sebelum ke Singapura bagi menghadapi cabaran Piala AFF hujung tahun ini.

"Kami memanggil muka-muka baru serta yang pernah bermain bersama kebangsaan. Kami harap mereka dapat sesuaikan diri dan mendapat keyakinan ketika bermain dengan pasukan seperti Jordan dan Uzbekistan.

"Ini juga adalah medan terbaik untuk menguji pemain," katanya lagi.

Skuad negara tiba di Amman pada jam 5.30 petang tadi waktu Malaysia dan akan memulakan sesi latihan mereka dalam keadaan perlu segera menguasai perubahan tempoh waktu dengan perbezaan 5 jam waktu tempatan.