"Mongolia dan Bhutan bukan pilihan bijak!" Itu reaksi bekas jurulatih negara, Irfan Bakti Abu Salim, yang melihat perkembangan skuad negara perlu seiring membabitkan pilihan pemain dan percaturan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jika keutamaan FAM mahu menaikkan ranking Malaysia, pilihan pasukan bagi aksi persahabatan perlu diambil kira badan induk itu.

Tegas Irfan, Mongolia mahupun Bhutan bukan cabaran sebenar buat Malaysia yang perlu berhadapan pasukan lebih baik, termasuk pencapaian mereka daripada segi ranking dan prestasi semasa pasukan itu.

Lebih merugikan, jika ada segelintir pemain negara mengambil mudah berdasarkan ranking pihak lawan dan situasi itu mengundang padah jika pihak lawan bijak mengambil kesempatan, seperti mana yang berlaku dalam aksi dengan Mongolia.

"Pasukan kebangsaan perlu lebih banyak mengharungi aksi antarabangsa dan betul-betul mengadakan aksi berkelas 'A'.

"Bhutan dan Mongolia bukan lawan kita. Pasukan-pasukan yang berada di ranking bawah kita pasti akan bertambah semangat apabila berdepan kita," ujarnya.

Bagaimanapun, pendekatan pemain berdarah campuran dilihat sebagai medium terbaik untuk memajukan skuad negara, namun penggunaan pemain seperti ini perlu konsisten dari semasa ke semasa.

"Ia satu langkah yang baik tetapi biarlah bukan untuk satu atau dua perlawanan sahaja.

"Fizikal mereka merupakan salah satu kelebihan," tambahnya.