Skuad Harimau Malaya tampak terpaksa mengorbankan kalendar antarabangsa bulan depan berikutan bertembung dengan kempen Piala Malaysia.

Pengurusan skuad kebangsaan, bagaimanapun, tetap komited apabila berusaha mendapatkan satu perlawanan pada awal Disember depan buat anak buah Tan Cheng Hoe itu melakukan persediaan akhir sempena Piala AFF di Singapura dari 5 Disember hingga 1 Januari depan.

"Kalau boleh selewat-lewatnya kami mahu mengatur perlawanan pemanas badan pada 3 Disember.

"(Lagipun) pasukan yang jauh agak sukar datang ke sini sebab perlu menjalani kuarantin, " kata pengurus skuad negara, Datuk Wira Yusoff Mahadi.




Saingan Piala Malaysia tampak sukar ditunda memandangkan rata-rata kontrak pemain Liga Malaysia (Liga-M) berakhir hujung bulan depan.

Skuad negara selamat tiba di tanah air hari ini selepas perlawanan antarabangsa membabitkan Jordan dan Uzbekistan di Amman dan mereka akan menjalani proses kuarantin, namun tetap akan meneruskan latihan dalam gelembung di venue tertutup.