Pemain pertahanan yang juga kapten Sabah, Rawilson Batuil, kini dalam pemerhatian skuad kebangsaan berikutan prestasi baiknya dalam beberapa perlawanan lalu.

Selepas disebut-sebut sebagai pemain terbaik perlawanan oleh penyokong dalam aksi Piala FA bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) baru-baru ini, nama Rawilson terus melonjak.

Difahamkan, pihak jurulatih Harimau Malaya telah menghubungi pasukan Sabah untuk bertanya mengenai pemain itu.

Pengendali Sang Badak, Jelius Ating, ketika dihubungi mengesahkan pemain berusia 24 tahun itu kini berada dalam radar pasukan negara.

"Ya, memang betul tetapi ia terpulang kepada Rawilson untuk membuktikan bahawa dia layak berada dalam skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu.

"Saya akui Rawilson antara pemain yang menunjukkan peningkatan mendadak ketika ini dan saya harap ia berterusan kerana saya difahamkan barisan jurulatih pasukan kebangsaan mahu melihat sendiri dia beraksi dalam perlawanan akan datang," katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu, hari ini.

Anak jati Kota Marudu yang lebih mesra dipanggil 'Jipun' dalam kalangan rakan sepasukan itu mula menyertai skuad senior Sabah pada 2014 daripada pasukan Piala Presiden.

Berikutan prestasi cemerlang Rawilson yang bermain di posisi pertahanan musim lalu, dia kemudian dilantik oleh Jelius menjadi ketua pasukan Sabah sehingga kini.

Sementara itu, Jelius berkata selain Rawilson, beberapa lagi pemainnya turut menunjukkan peningkatan mendadak musim ini.

"Antaranya ialah penjaga gol, Robson Rendy Rining, yang telah menjalankan tugasnya dengan baik walaupun ini adalah musim pertamanya beraksi sebagai penjaga gol utama.

"Ia juga terbukti apabila Rendy tercalon sebagai pemain terbaik Liga Perdana bagi bulan Februari. Bukan saja pemain daripada skuad kebangsaan tidak tercalon tetapi Rendy juga satu-satunya pemain tempatan yang dicalonkan," katanya.

Berita mengenai Rawilson berada dalam radar skuad kebangsaan dan Rendy yang tercalon sebagai pemain terbaik liga bagi bulan Februari jelas memberi kegembiraan kepada Jelius dan pasukan Sabah.

"Ini meningkatkan lagi semangat kami dan saya yakin pemain-pemain lain juga akan lebih berusaha untuk mencapai sesuatu yang diinginkan mereka.

"Pemain-pemain muda seperti Maxius (Musa), Sabri (Sahar), Azzizan (Nordin), Jenius (Karib), Randy (Baruh) dan yang lain-lain juga semakin menunjukkan peningkatan ketika ini."

Kredit imej: Jaiman Taip